Wednesday, 13 July 2011

Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam



Saya sedang dalam proses mengunyah buku ini untuk santapan jiwa saya.
Masih terlalu awal untuk bercakap lebih lanjut tentang isi kandungannya.
Apa yang jelas, pengetahuan saya tentang Asia Barat cukup cetek! Bak penyuluh dalam gelap, buku ini memberikan sedikit pencerahan tentang Iran, juga tentang Ahmadinejad - subjek utama dalam buku ini.
Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya memilih buku ini untuk berada dalam koleksi saya.
Ada sesiapa yang ingin membuat tekaan? :P
Jawapan saya cukup mudah - nama Ahmadinejad merupakan antara senarai penamaan calon untuk nama anak-anak lelaki saya. Hahaha.

Tuesday, 12 July 2011

Pesta Buku Antarabangsa 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan agenda tahunan saya.
Tanpa mengira sama ada saya mempunyai senarai buku untuk dibeli atau tidak, saya tetap akan ke sana.
Tidak membeli pun tidak mengapa, kerana yang penting bagi jiwa saya ialah untuk berada di sana.
Saya sukakan bau buku! Seumpama bau laut yang sering menggamit hati saya, buku juga mempunyai kuasa tarikan yang bukan sedikit. Bau buku baru membuatkan saya bersemangat dan terasa bernyawa!

Longgokan buku-buku ini merupakan hasil tangkapan saya ketika berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, April lalu. Tidak seperti kebiasaannya, tangkapan kali ini lebih berpada-pada dengan menekankan konsep Membaca Untuk Berkongsi. Oleh yang demikian, pemilihan kali ini diharap dapat disebar untuk dimanfaatkan, bukan hanya untuk kepuasan diri semata-mata.
Sejujurnya, tidak ada satu pun antara buku-buku yang dilonggokkan ini berjaya dibaca sejak April lalu, sungguhpun kobaran semangat ketika membeli memang tidak dapat disembunyikan. Mungkin ini yang dikatakan hangat-hangat tahi ayam. Mula-mula bukan main panas - tetapi sekarang sudah sejuk, dan saya tercari-cari ke manakah perginya semangat yang hilang itu. Haha!

Namun begitu, saya berharap buku-buku ini berjaya dihabiskan menjelang Pesta Buku Antarabangsa tahun hadapan. Saya percaya itu adalah satu matlamat yang realistik. Moga-moga begitulah.
Memandangkan buku-buku ini telah didedahkan secara umum, nampaknya mahu tak mahu akan saya hadamkan juga sehingga ke halaman kulit buku yang terakhir. Saya mesti paksa diri sendiri. Mula-mula memang paksa rela, lama-lama tentu jadi suka rela :P
Kadang-kadang taktik mengugut diri sendiri dengan cara sebegini menghasilkan kebarangkalian untuk berjaya yang tinggi bagi saya :P

Monday, 11 July 2011

Prakata

Selamat datang ke blog Feel Book Channel :P
Perancangan untuk mewujudkan blog khas untuk membicarakan hal buku dan yang bersangkut-paut dengannya merupakan rencana yang telah lama saya pendamkan, sekurang-kurangnya sejak setahun yang lalu.
Namun demikian, keinginan untuk berblog secara khusus tentang buku kadang-kadang tenggelam, dan kadang-kadang timbul. Kesibukan menjalani hidup yang singkat ini masih berterusan. Di celah-celah kesibukan yang tidak penting itu, masih ada sesaat dua yang membuatkan saya terdetik –
“Eh, bila nak start blog buku ni?”
Terlalu banyak alasan yang dapat saya senaraikan di sini – kucing beranak, saya pun bersalin juga, anak-anak kurang sihat, adik ipar melangsungkan perkahwinan, suami ditugaskan ke luar daerah – ohhh terlalu banyak dalih kalau ingin diperincikan setiap satunya!
Saya bulatkan hati, hari ini juga – 11 Julai 2011 saya mesti mulakan sesuatu.

Enggan menunggu sehingga esok, lusa atau tulat.

Sekarang.

Sekarang juga!
Sel-sel di kepala sebetulnya sedang kosong. Tetapi saya pujuk juga jari-jemari – taiplah apa-apa sahaja. Asalkan menaip sesuatu di blog ini. Alhamdulillah, dapat juga dibariskan beberapa ayat untuk mengisi kekosongan ruang. Cukuplah, sebagai permulaan.
Tidak sabar untuk melihat sejauh manakah blog ini akan berkembang!
:P